ttc

now browsing by tag

 
 

IUI (Intrauterine insemination) – FAQ

“Apa itu Intra Uterine Insemination atau IUI ?”

IUI adalah proses menyuntik sperma yang telah dibersihkan ke dalam rahim dengan menggunakan tiub plastic yang halus melalui servik. IUI adalah langkah pertama, serta tidak terlalu mahal untuk membantu kesuburan bagi wanita yang tiada masalah tiub fallopio.

 

“Bila IUI digunakan ?”

IUI adalah kaedah rawatan kesuburan yang biasanya dipilih oleh pasangan yang tiada masalah tiub serta telah mencuba selama sekurang-kurangnya setahun. IUI juga digunakan dalam situasi seperti:

  • Bilangan sperma yang rendah
  • Pergerakan sperma yang lemah
  • Masalah serviks yang ’hostile’
  • Masalah hubungan kelamin.

 

“Apakah rawatan yang perlu sebelum IUI ?”

Sebelum IUI, wanita perlu menjalani ujian menentukan keadaan tiub fallopio (HSG), disamping beberapa jenis ujian darah. Ujian analysa air mani suami juga perlu dilakukan.

 

“Berapa peratuskah kejayaan IUI?”

Secara amnya, kejayaan IUI adalah antara 10-20%..

iuipic2

“Terangkan secara ringkas prosedur IUI?”

Protokol IUI adalah seperti berikut :

  • Clomiphene Citrate dari haid ke-2 hingga 6
  • Jika perlu akan ditambah ubat suntikan
  • Pemantauan tumbesaran folikel
  • Apabila folikel mencapai saiz optimum, suntikan hCG akan diberi.
  • IUI dilakukan selepas 36-40 jam suntikan hCG
  • Mungkin ada yang perlu diubahsuai bergantung kepada keperluan pesakit.

 

“Berapa lamakah jangka masa abstinens yang ideal sebelum IUI ?”

Ini bergantung kepada individu, sebaiknya kurang daripada 72 jam selepas ejakulasi terakhir untuk memastikan sperma berkualiti. Jika IUI dilakukan atas sebab bilangan sperma yang rendah, adalah baik untuk menunggu selama 48 jam dari ejakulasi terakhir.

 

“Adakah IUI itu sakit?”

Kebanyakan wanita tidak mengalami rasa sakit – lebih kurang rasa semasa ujian pap smear. Mungkin ada yang merasa sedikit kesakitan, tetapi kebiasaannya ia berkaitan dengan ovulasi berbanding IUI itu sendiri. Tiub IUI itu jarang mendatangkan masalah kerana kebiasaannya pintu rahim sedikit terbuka ketika ovulasi.

 

“Perlukah saya berbaring selepas IUI?”

Anda tidak perlu berbaring kerana cerviks tidak kekal terbuka selepas prosedur, tetapi kebiasaannya doktor akan menyarankan anda berbaring selama 15-30 minit.

 

“Perlukah saya berehat dari sebarang aktiviti selepas IUI?”

Kebiasaannya tidak perlu, tetapi jika anda mengalami sedikit ketidakselesaan atau sakit adalah disarankan untuk berehat. Ada yang mengurangkan aktiviti arobik dan kerja berat semasa fasa luteal dengan harapan peluang implantasi meningkat. Namun begitu adalah penting untuk berehat selepas IVF kerana prosedurnya lebih invesif.

 

“Bilakah masa pasangan boleh kembali melakukan hubungan kelamin?”

Kebiasaannya pasangan boleh mula melakukan hubungan kelamin bila-bila masa selepas IUI. Malah, ada doctor yang menyarankan pasangan melakukan hubungan kelamin selepas IUI bagi meninggikan lagi kebarangkalian persenyawaan berlaku.

 

“Bolehkah sperma tadi jatuh semula?”

Sebaik sperma disuntik ke dalam rahim, ia tidak akan mengalir keluar Namun begitu, mungkin terdapat peningkatan cecair pada faraj, ini adalah kesan daripada prosedur tersebut.

 

 

“Adakah biasa untuk mengalami sedikit pendarahan selepas IUI?”

Ia jarang berlaku tetapi tidak mustahil. Ia boleh terjadi jika proses memasukkan tiub itu agak sukar. Ada juga wanita yang mengalami sedikit pendarahan semasa ovulasi.

 

“Berapa kalikah saya boleh melakukan IUI sebelum meneruskan ke IVF?”

Ia bergantung kepada kemampuan dan target pasangan. Jika pasangan gagal selepas melakukan 4 kali IUI dengan kitaran ovulasi yang bagus, sudah tiba masanya untuk berpindah ke IVF.

 

Pada pasangan yang masih menanti, jangan ragu-ragu… Pergilah berjumpa pakar sakit puan anda untuk mendapatkan bantuan.