Penjagaan luka perineum

Semasa proses kelahiran ibu mungkin memerlukan episiotomi atau kadangkala perineumnya terluka. Kedua-dua situasi ini memerlukan jahitan dan proses penyembuhannya adalah sama.

Kebanyakannya akan sembuh tanpa masalah atau komplikasi.

Jahitan pada luka tidak perlu dibuka semula kerana ia akan diserap oleh tisu sekitarnya.

Penjagaan luka :
Luka perineum agak rumit penjagaannya kerana kawasan luka mudah menjadi lembab.

Kurangkan sakit dan bengkak dengan pek ais
Letakkan pek ais pada luka. Ini akan menyebabkan kebas dan mengurangkan rasa sakit dan bengkak pada luka.

Rendaman ‘sitz bath’

Sitz bath ialah rendaman air suam yang dicampurkan dengan sedikit garam. Garam mempunyai komponen antiseptik. Ia juga boleh mmengurangkan keradangan serta mengurangkan sakit dan bengkak pada luka.

 

Aliran air suam
Bagi mengurangkan keperitan semasa membuang air kecil, alirkan air suam pada kawasan perineum ketika membuang air kecil.

 

Tukar pad  2-4 jam sekali

Jangan biarkan tuala wanita terlalu lama. Tukar apabila ia basah. Ini dapat mengurangkan risiko jangkitan.

 

Pastikan kawasan luka kering dan bersih

Lap kawasan luka  dengan tuala setiap kali lepas ke tandas atau mandi. Pastikan juga ia sentiasa berada dalam keadaan bersih.

 

Elakkan berada dalam posisi yang sama terlalu lama

Luka akan mudah membengkak/ edema jika anda duduk/baring terlalu lama.

 

Sapu ubat luka

Jika anda dibekalkan dengan ubat luka oleh doktor, anda boleh sapukan pada kawasan luka

 

Pastikan anda minum banyak air sertamengambil makanan  yang tinggi kandungan serat. Ini dapat mengelakkan sembelit. Adakalanya anda mungkin diberi ubat untuk melembutkan najis oleh doktor.

Lakukan senaman Kegel.

Bila anda perlu berjumpa doktor….

  • Sakit pada perineum itu semakin bertambah.
  • Anda tidak membuang air besar lebih daripada 3 hari.
  • Keluar ketulan darah yang besar.
  • Darah nifas anda berbau busuk
  • Jahitan pada luka terbuka.

Comments are Closed