HARUS BERBUKA PUASA?…

Ramadhan semakin hampir. Ramai yang mula bertanya pemberi khidmat kesihatan berkenaan puasa dan perkara berkaitan dengannya.

 

HARUS BERBUKA PUASA

Orang yang diharuskan berbuka puasa adalah seperti berikut :

 

i. Orang sakit

Orang sakit sekiranya ia berpuasa juga akan menambahkan kesakitannya atau melambatkan sembuh penyakitnya, boleh meninggalkan puasa tetapi wajib mengqadha’kannya (ganti) setelah ia sihat.

 

ii. Orang musafir

Orang    musafir dengan tujuan yang diharuskan oleh syarak harus berbuka puasa dengan syarat perjalanannya itu melebihi dua marhalah (kira-kira 89 kilometer). Puasa yang ditinggalkan itu wajib diqadha’.

 

iii. Hilang keupayaan untuk berpuasa

Orang tua yang uzur, orang yang lemah kerana penyakit yang tidak ada harapan untuk sembuh atau kerana semula jadinya lemah diharuskan berbuka atau tidak berpuasa langsung. Bagi hari-hari yang ditinggalkan itu       wajib  dibayar fidyah   dengan makanan asasi satu hari satu cupak diberi kepada fakir atau miskin. Golongan orang yang sedemikian tidak wajib mengqadha’kan puasa yang ditinggalkan tetapi hanya memadai dengan membayar fidyah sahaja.

 

iv. Perempuan hamil

Perempuan yang sedang hamil dan bimbang jika ia berpuasa akan membahayakan dirinya, diharuskan berbuka tetapi wajib mengqadha’ puasa yang ditinggalkan. Sekiranya ia bimbang akan membahayakan kandungannya, harus baginya berbuka puasa tetapi wajib qadha’ serta membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.

 

v. Ibu yang menyusukan anak

Ibu yang menyusukan anak harus berbuka puasa kalau ia bimbang  dengan berpuasa akan memudharatkan dirinya dan wajib qadha’ bagi  puasa yang ditinggalkan. Jikalau ia berbuka puasa kerana bimbang memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu, maka wajib qadha’ puasa yang ditinggalkannya beserta membayar fidyah bagi setiap hari puasa yang ia tinggalkan.

 

Sumber : PANDUAN BERPUASA BAGI PESAKIT ; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – Cetakan kedua 2013, page 4. (www.islam.gov.my)

Comments are Closed